Kerajaan belanja RM4,000 buat seorang pesakit di PKRC

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Kerajaan membelanjakan sekurang-kurangnya RM4,000 bagi seorang pesakit yang dimasukkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sepanjang 14 hari menerima rawatan di pusat itu di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kos itu meliputi semua perkhidmatan diterima termasuk bekalan rawatan, makanan serta pelbagai lagi yang diperuntukkan sejak pusat itu dibuka.

Katanya, setakat ini kerajaan membelanjakan hampir RM1 bilion bagi merawat kira-kira hampir 105,000 pesakit di pusat itu terutama di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

“Peruntukan itu hanyalah untuk merawat pesakit sahaja dan ia tidak termasuk dengan kos untuk menubuhkan pusat itu di negara ini bagi menangani COVID-19.

“Malah, menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerajaan memperuntukkan RM550 juta untuk menambah baik PKRC di negara ini termasuk kos pengurusan bagi pusat itu.

“Dalam fasa ‘total lockdown’ ini ia dijangka akan meningkat dan Insya-Allah kita cuba turunkan perbelanjaan itu, namun itulah hakikatnya usaha yang dilakukan kerajaan untuk mensejahterakan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) dalam wawancara secara langsung bersama petugas barisan hadapan menerusi aplikasi Google Meet di pejabatnya, hari ini.

Wawancara itu turut disertai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka, Datuk Wira Latipah Omar dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Dalam pada itu Mohd Redzuan berkata, kerajaan kini bersiapsiaga bagi membuka PKRC baharu di negeri lain pada masa akan datang berikutan penularan wabak itu yang dijangka akan meningkat pada minggu hadapan berdasarkan analisa yang diterima.

“Kita dalam kesiapsiagaan berhubung perkara itu dengan menggunakan segala yang kita ada dan menilainya agar ia tidak membebankan perbelanjaan negara.

“Dalam masa kita merancang ini, kita pula perlu memastikan supaya semua rakyat dibekalkan suntikan vaksin COVID-19 supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan di PKRC,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kadar peratusan vaksinasi Malaysia lepasi negara jiran – Khairy
Next post PKRC buat warga asing wajar – Mohd Redzuan
Ubah saiz-+=