PKRC buat warga asing wajar – Mohd Redzuan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) khusus bagi menempatkan warga asing yang dijangkiti wabak itu adalah wajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sekali gus pusat itu mampu mengasingkan individu warga asing yang dijangkiti daripada rakyat tempatan bagi mendapatkan rawatan COVID-19.

Katanya, perkara itu juga mampu mengekang rakyat Malaysia daripada dijangkiti varian-varian baharu COVID-19 yang akan membawa kesan kepada kadar jangkitan di negara ini.

“Kita amat faham keadaan ini dan tak tahu dari mana mereka (varian) datang kerana ia daripada luar, jadi kita kena uji mereka dan wujudkan tempat khas supaya mampu membendung kita dari penularan ini.

“Berkaitan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) pula kita akan terus memburu mereka kerana kebanyakan mereka ini lari bagi mengelakkan diri daripada disaring dengan ujian COVID-19.

“Kita memang patut wujudkan satu tempat spesifik untuk mereka ini termasuklah PATI dan uruskan penempatan mereka sebaiknya kerana mereka mempunyai tradisi, budaya dan makanan yang berbeza dengan kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara secara langsung bersama petugas barisan hadapan menerusi aplikasi Google Meet di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Wawancara itu turut disertai Timbalannya, Datuk Mastura Mohd Yazid; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka, Datuk Wira Latipah Omar dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post Kerajaan belanja RM4,000 buat seorang pesakit di PKRC
Next post MAIM bangunkan aplikasi Jejak Asnaf, mudahkan agihan kebajikan rakyat
Ubah saiz-+=