Kerajaan laksana penyasaran subsidi diesel libatkan pengguna di Semenanjung – PM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penyasaran bersubsidi diesel itu, bagaimanapun tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan bahan api itu digunakan untuk kenderaan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri berkenaan.

“Jadi, kita menangguhkan sebarang tindakan (penyasaran subsidi kepada pengguna di Sabah dan Sarawak) kerana akan membebankan rakyat terbanyak,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan malam ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan di Semenanjung, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial dengan bahan api itu.

Beliau berkata subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

“Maknanya, pengusaha bas, teksi (dan) nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi atau bantuan untuk membantu mereka. Jadi, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak (termasuk) petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

“Ia untuk (golongan) B40 (dan) M40 yang menggunakan kemudahan diesel untuk perniagaan kecil atau penggunaan dalam bidang pertanian, perlombongan, penternakan atau nelayan akan terus dibantu. Maknanya dia (mereka) tidak terkesan daripada kenaikan ini,” katanya.

Menurut Anwar penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun, iaitu yang pernah dinikmati oleh kumpulan berkenaan sebelum ini.

“Saya ingin tegaskan di sini, kita naikkan (laksana penyasaran subsidi) tapi tidak (bebankan) rakyat. Kita naikkan kesannya kepada golongan maha kaya dan orang (warga) asing.

“Kalau ada rakyat yang terbeban menggunakan diesel, ada ruang untuk mereka rujuk kepada Kementerian Pengangkutan atau kementerian berkaitan supaya dapat dipastikan penyasaran subsidi diesel itu hanya mengesankan golongan kaya dan (warga) asing dan tidak membebankan mereka (rakyat),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

242
Kongsi :
Previous post 40 aset Sultan Ibrahim dipamerkan di Melaka
Next post Guru JAIM wajib guna aplikasi Telegram MyMelaka News
Ubah saiz-+=