Kerajaan Melaka tidak zalim pindahkan peniaga – KM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SERI NEGERI 5 Julai – Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan notis untuk memindahkan peniaga di Banda Hilir, termasuk Uptown Pahlawan Walk seperti yang didakwa menerusi satu rakaman video tular oleh seorang wanita.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu masih di peringkat perancangan dan perbincangan bersama semua agensi serta peniaga terlibat dan ia masih belum dimuktamadkan.

Malah, katanya, menerusi perbincangan yang diadakan bersama pihak terlibat, rata-rata mereka menyambut baik dengan penerangan diberikan termasuk menawarkan lokasi yang lebih baik dan menarik.

“Kita akan terus melibatkan peniaga (untuk mendapatkan maklum balas) tetapi soalnya tidak ada surat dikeluarkan, jadi jangan menuduh dahulu.

“Kita tidak boleh sekat orang hendak bercakap tetapi ada batasnya, sekurang-kurangnya merujuklah kepada pihak berkuasa.

“Sudah pasti kita bukan kerajaan yang zalim kerana kita mahu meraikan rakyat untuk mendapat faedah yang baik di bawah pentadbiran yang saya bawa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Pra Pelancaran Smart Melaka International Conference and Expo 2023 (SMIX 2023) di Dewan Tun Mutakhir, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, apa jua keputusan dilakukan Kerajaan Negeri adalah bagi menarik kehadiran pelancong ke Melaka, namun ia mengambil kira semua pandangan pemain industri di kawasan itu.

“Kita menyasarkan lebih ramai pengunjung dan pelancong pada tahun hadapan, maka mesti akan ada satu perubahan drastik.

“Faedahnya, mereka (peniaga) juga akan dapat, jadi jangan risau sesungguhnya saya mentadbir negeri akan memberikan sumbangan terbaik kepada rakyat dan peniaga,” katanya.

Ab Rauf bagaimanapun berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap wanita yang memuat naik video berdurasi 55 saat yang tular di aplikasi TikTok itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1366
Kongsi :
Previous post Melaka alu-alukan pemain industri digital jadi rakan strategik SMIX 2023
Next post Melaka Halal Hub perkenal aplikasi dalam talian
Ubah saiz-+=