Kerajaan Negeri hanya belanja 16 peratus kos Fan Bingbing

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 9 Julai – Kerajaan Negeri hanya membelanjakan 16 peratus atau RM77,850 bagi program promosi Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Fan Bingbing di Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, baki perbelanjaan iaitu sebanyak 84 peratus atau RM420,497 ditaja oleh pihak swasta.

Abdul Razak berkata, kos keseluruhan sepanjang tiga hari aktres antarabangsa dari China itu berada di Melaka adalah sebanyak RM498,347.

“Sebagai makluman Kerajaan Negeri Melaka mengeluarkan kos sebanyak RM77,850 bagi membawa Fan Bingbing ke Melaka sebagai Duta Setiakawan, jumlah ini merangkumi kos promosi dan penganjuran program.

“Manakala kos utama lain seperti tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, ‘ground handling’ dan kos perkhidmatan profesional termasuk ‘projector mapping’ di Encore Melaka berjumlah RM420,497 bersamaan 84 peratus ditanggung sepenuhnya melalui penajaan syarikat swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN – Sungai Udang) mengenai jumlah kos yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Melaka dalam melantik Fan Bingbing sebagai Duta Pelancongan Melaka pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, hari ini.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, Kerajaan Negeri yakin bahawa jumlah kos yang dikeluarkan khususnya menerusi peruntukan Kerajaan Negeri ini akan mendapat pulangan berkali ganda melalui peningkatan jumlah pelancong antarabangsa.

“Menerusi inisiatif terbaharu ini sudah pasti ia akan membuahkan hasil kepada sektor pelancongan Melaka dalam menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Malah mewakili Kerajaan Negeri Melaka jufa saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja yang terlibat dan menjadi penaja rasmi dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post Mohon semula pembangunan kawasan tambakan laut di bawah UNESCO
Next post Ekosistem pelaburan Melaka ditambah baik – KM
Ubah saiz-+=