Kerajaan negeri teliti insiden kapal berlanggar

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 4 Okt. – Insiden dua kapal berlanggar di perairan Tanjung Kling, di sini kelmarin amat membimbangkan kerajaan negeri kerana mengancam keselamatan anak kapal dan alam sekitar.

Punca kejadian harus segera disiasat Jabatan Laut Malaysia dan laporan lengkap mengenainya harus diserahkan kepada kerajaan negeri.

Ia penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan lanjut terhadap pihak yang dipercayai menjadi punca kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu, sekali gus bagi mengelakkan ia berulang di perairan Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee menegaskan, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu kerana ia bukan setakat berlaku di perairan negeri ini, malah mengancam
keselamatan anak kapal dan alam sekitar.

“Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi pada waktu siang dan dalam keadaan cuaca dilaporkan baik tanpa hujan atau ribut di perairan Tanjung Kling ketika itu.

“Kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Laut menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan untuk kami mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norhizam berkata, beliau sudah melihat klip video insiden berkenaan tetapi tidak mahu membuat sebarang rumusan sama ada ia berpunca daripada kesilapan teknikal atau kesilapan manusia.

“Biarlah Jabatan Laut menjalankan siasatan dan kita akan mengambil tindakan berasaskan laporan dan cadangan jabatan itu,” katanya.

Jabatan Laut Malaysia dilaporkan berkata, dalam kejadian 11.38 pagi kelmarin, kapal pengangkut pasir, MV Ocean Line 5001 melanggar kapal tangki, MT Strovocos pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika arah barat daya Terminal Tanjung
Bruas, Perairan Tanjung Kling. Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan ancaman kepada alam sekitar.

MV Oceanline 5001 dari kawasan tambakan Kota Laksamana menuju ke lokasi pengambilan pasir luar had pelabuhan Melaka sebelum melanggar bahagian tengah sebelah kiri MT Strovocos yang ketika itu berlabuh di dalam had pelabuhan Melaka.

Insiden itu menyebabkan kedua-dua kapal mengalami kerosakan dan susulan itu jabatan berkenaan menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan turut meningkatkan pemantauan situasi berkenaan bagi memastikan keselamatan pelayaran kapal lain, sekali gus menggelakkan sebarang kejadian pencemaran terhadap alam sekitar.

Views:

263
Kongsi :
Previous post Majlis Fatwa mesyuarat esok kemas kini SOP masjid, surau
Next post PKPDB di Penjara Alor Setar bermula tengah malam ini
Ubah saiz-+=