Sorting by

×

Kerajaan negeri terima cadangan dan kritikan belia

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

LENDU 24 Julai – Kerajaan negeri bersedia menerima cadangan dan kritikan daripada belia bagi membantu memajukan negeri ini, khususnya berkaitan sumbangan belia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia sejajar Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) di bawah flagship-8, iaitu ‘Melaka Sejahtera’ yang turut membabitkan belia dan sukan.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong agenda pembangunan belia di negeri ini dan bersifat terbuka menerima segala idea, cadangan, pandangan mahupun kritikan yang membina demi kemajuan dan kemakmuran Melaka.

“Tema Hari Belia Negara (HBN), ‘Ini Masa Kita’ mengingatkan saya sendiri tentang betapa berharganya era kehidupan sewaktu muda dan ia perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

P Shanmugam mewakili Sulaiman merasmikan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Alor Gajah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini. Foto Din Ahmad

Beliau berucap merasmikan sambutan HBN Peringkat Daerah Alor Gajah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, P Shanmugam.

Yang turut hadir, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) negeri, Khairul Adri Rosli.

Seramai kira-kira 2,000 belia menghadiri program berkenaan yang diserikan dengan acara ‘street soccer,’ pertandingan kawad kaki, senamrobik dan sukaneka orang kurang upaya (OKU).

P Shanmugam mewakili Sulaiman menyampaikan hadiah cabutan bertuah selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Alor Gajah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini.
– Foto DIN AHMAD

Sulaiman berkata, warga belia harus tampil dengan menggunakan kreativiti dan kebijaksanaan melalui pelbagai peluang yang disediakan selari dengan konsep ‘daripada belia untuk belia’.

“Tema HBN sinonim dengan golongan belia sekarang untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda.

“Ia juga menjadi pendorong kepada generasi belia Keluarga Malaysia supaya lebih bersemangat dan komited dalam merencana kepimpinan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran begitu ramai belia mencerminkan dorongan dan sokongan belia dalam usaha menjadikan Melaka sebagai negeri lestari dan sejahtera.

Sambutan HBN adalah simbol kebersamaan belia dan kerajaan dalam proses membangunkan belia secara holistik bagi mewujudkan suasana aman, harmoni dan semangat cinta akan negara, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1525
Kongsi :
Previous post 2,000 serbu JAPERUN Tanjung Bidara
Next post Nahas lima sekeluarga: Trak pikap hilang kawalan, rempuh MPV
Ubah saiz-+=