Kerajaan setuju tawar kontrak dua tahun kepada petugas kesihatan

0
238
GAMBAR hiasan. Foto - FMT.

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerajaan bersetuju agar pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Jelasnya ia antara beberapa langkah penyelesaian segera dipersetujui Kabinet selepas kertas cadangan berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak itu dibentangkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lalu.

“Kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Langkah itu bagi memastikan pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing, kata Muhyiddin.

“Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Keputusan itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited memastikan kebajikan dan laluan kerjaya petugas kesihatan lantikan kontrak berkenaan diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.