Kerajaan tubuh pasukan petugas khas pascabanjir dan persediaan gelombang kedua – PM

HULU LANGAT, 26 Dis – Kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pascabanjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Kerja pelaksanaan pascabanjir ini memerlukan koordinasi yang sempurna, kerana saya tidak mahu proses termasuk bantuan lambat diberikan kepada mangsa terlibat.

“Kita juga perlu bersedia jika banjir gelombang kedua akan berlaku selepas ini, jadi saya setuju untuk tubuhkan pasukan petugas khas ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pasukan petugas khas yang akan dianggotai oleh agensi terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, akan mengadakan mesyuarat pertamanya seawal esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata antara perkara yang akan dibincang dan diputuskan oleh pasukan petugas khas itu ialah koordinasi pelaksanaan proses pembersihan rumah dan kediaman, serta mekanisme pemberian wang bantuan ihsan banjir agar cepat sampai kepada penerima terjejas, yang menjadi keutamaan pada ketika ini.

“Saya juga menyeru kepada agensi dan jabatan berkaitan yang menguruskan bantuan tunai perlu mempermudahkan proses pemberian bantuan dan menghapuskan kerenah birokrasi, mereka dah susah, jangan susahkan mereka lagi,” katanya.

Katanya lagi, pasukan petugas khas tersebut juga akan mencari penyelesaian pengurusan sisa pepejal hasil dari kemusnahan akibat banjir.

Katanya setakat ini kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan insinerator bergerak, yang akan melupuskan sisa pepejal secara ‘insitu’ tanpa asap dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Selain itu katanya, kerajaan juga sedang mengumpul data jumlah kerugian yang ditanggung akibat banjir besar yang melanda negeri Selangor Sabtu lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Previous post KKM akan lakukan pemeriksaan rambang individu kuarantin pulang dari luar negara
Next post Banjir: Rebat 100 peratus ‘one-off’ bil elektrik bulan Disember