Kerajaan wujudkan pasukan khas bagi kanak-kanak lepasan JKM lanjut pelajaran – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Satu pasukan khas yang disertai agensi-agensi kerajaan akan diwujudkan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak-kanak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran atau akademik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia susulan kanak-kanak lepasan JKM yang berusia 18 tahun lazimnya tidak lagi ditanggung oleh agensi tersebut sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan mereka tercicir.

“Kerajaan amat mengambil berat tentang soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan JKM bagi menjamin masa depan golongan itu,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 hari ini.

Beliau berkata syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan, dana penempatan dan laluan kerjaya manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berperanan dalam menyediakan latihan dan peluang pekerjaan selepas golongan itu tamat pengajian serta kesemua bantuan itu akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ismail Sabri berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi dalam usaha untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

Beliau berkata GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber juga diwujudkan berikutan menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian.

Beliau memaklumkan inisiatif tersebut bagi melahirkan warga siber yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber.

“Mesyuarat turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah siber yang semakin meningkat. Sejak 2016 sehingga 2021 dilaporkan terdapat hampir 82,000 kes penipuan siber melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.21 bilion,” katanya.

Perdana Menteri juga menyifatkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai lepas membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual di negara ini.

Mesyuarat MSN itu dihadiri menteri-menteri kanan, menteri dan timbalan menteri yang berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1115
Kongsi :
Previous post Polis nafi 30 banduan Penjara Sungai Udang lolos
Next post Penganggur disyaki bakar remaja dihadapkan ke mahkamah
Ubah saiz-+=