Polis nafi 30 banduan Penjara Sungai Udang lolos

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

MELAKA 28 Julai – Polis menafikan berita yang tular di laman sosial kononnya 30 banduan dari Penjara Sungai Udang telah melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berita itu adalah palsu selepas pihaknya mendapat pengesahan rasmi daripada Penjara Sungai Udang.

Katanya, pihak penjara mengesahkan tiada banduan yang melarikan diri atau lolos daripada lokap dan berita itu seolah-olah sengaja direka bagi mencetuskan kegusaran orang awam, khususnya penduduk berhampiran.

Justeru, menurutnya, satu laporan polis akan dibuat berhubung isu ini.

“Kita berharap, orang ramai dapat menghebahkan berita sebenar agar ia tidak menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular di beberapa platform media sosial mengaitkan 30 banduan Penjara Sungai udang berjaya melarikan diri antara jam 9 hingga 11 pagi semalam.

Dakwa kenyataan itu, sekatan jalan raya akan diadakan di kawasan Sungai Udang hingga Masjid Tanah dan kawasan sekitar sehingga kesemua 30 banduan tertangkap semula.

“Perhatian, 30 banduan dari Penjara Sungai Udang telah melarikan diri semalam waktu pagi antara jam 9 hingga 11 pagi.

“Roadblock akan berterusan untuk kwsan Sungai Udang-Masjid Tanah dan sekitarnya.

“Berhati-hati atas keselamatan. Info ini masih dirahsiakan hingga tertangkap semua 30 org banduan ini, terima kasih,” tulis kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2365
Kongsi :
Previous post Tiada kumpulan rekrut warga Filipina keturunan Sulu di Lahad Datu – PDRM
Next post Kerajaan wujudkan pasukan khas bagi kanak-kanak lepasan JKM lanjut pelajaran – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=