Kereta terjunam dalam sungai: Jenazah tiga beranak selamat dikebumikan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

ALOR SETAR, 26 Jun – Jenazah tiga beranak yang lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling (sempadan Baling-Sungai Petani) semalam, selamat dikebumikan petang ini.

Terdahulu, jenazah Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5 yang dibawa dengan ambulans Hospital Kulim tiba di rumah arwah ibu Masyitoh di Kampung Paya Kerchut, di sini pada pukul 4.05 petang selepas selesai proses bedah siasat.

Jenazah tiga beranak itu kemudian dibawa ke Masjid Az-Zaitun di sini untuk solat jenazah yang disertai kira-kira 200 jemaah termasuk suami Masyitoh, Sharudin Aziz, 51, dan anak sulung mereka Muhammad Ziyad Hadis, 10.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Az-Zaitun pada pukul 5.45 petang.

Semalam, kereta Proton Persona yang dipandu Masyitoh dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam Sungai Muda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat dalam kenyataan berkata punca kejadian masih disiasat dan kereta berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan mekanikal termasuk brek.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

763
Kongsi :
Previous post Jumlah keseluruhan subsidi 2022 dijangka hampir RM80 bilion – Tengku Zafrul
Next post Talak meragukan dalam media sosial: Laporkan kepada pejabat agama
Ubah saiz-+=