Kerja tak dapat, RM57,000 lebur
ALOR SETAR, 9 Mac – Seorang suri rumah kerugian RM57,508.73 setelah menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan sambilan yang diiklankan menerusi platform media sosial Facebook, awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Superintendan Elias Omar berkata wanita berusia 24 tahun itu telah melayari aplikasi media sosial itu dan terlihat iklan tawaran pekerjaan yang dipautkan dengan portal e-dagang terkenal, Zalora.
“Mangsa kemudian menekan pautan tersebut dan telah menyertai satu kumpulan WhatsApp ‘Group 929 Partimer Assignment’ dan diminta untuk berhubung dengan pihak ‘customer service’ yang memperkenalkan diri sebagai ‘Adam’.
“Mangsa telah diberikan beberapa tugasan oleh ‘Adam’ dan diminta untuk membuat pembelian barangan melalui laman web www.zalora.com serta dijanjikan komisen yang lumayan bagi setiap pembelian barangan di laman web Zalora,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, suri rumah itu telah membuat pembayaran ke 13 akaun berbeza bagi pembelian pelbagai barangan seperti diminta oleh suspek.
Menurut Elias mangsa menyedari dirinya ditipu setelah suspek masih memintanya membuat pembayaran dengan pelbagai alasan, namun sehingga kini mangsa tidak menerima komisen yang dijanjikan.
Beliau berkata mangsa kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan secara dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan dan jangan mudah percaya atau membuat sebarang pindahan wang kepada individu tidak dikenali,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menghubungi CCIS Response Centre di talian 03-26101559/1599 jika ada sebarang kemusykilan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.