Kerjasama holistik PIBG dan sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MASJID TANAH 15 Januari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah agar sentiasa bekerjasama bagi meningkatkan lagi kecemerlangan akademik anak-anak Negeri Melaka.

Tegas Ketua Menteri, kejayaan sesebuah sekolah tidak hanya diukur berlandaskan kecemerlangan akademik semata-mata.

Jelas beliau, kejayaan perlu dilihat secara holistik meliputi bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan akhlak yang terpuji.

“Besar harapan saya untuk melihat PIBG dan pengurusan sekolah untuk sentiasa menjalin kerjasama yang padu serta jitu. Sentiasa berkomunikasi bagi memastikan segala bentuk perancangan untuk menaik taraf fasiliti sekolah, kecemerlangan akademik dan sebagainya dapat dicapai.

“Selain itu, persekitaran dan ruang pembelajaran yang kondusif juga merupakan salah satu faktor yang dapat meransang minda, emosi serta spiritual anak-anak kita untuk terus bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

“Semua ini bertujuan mempersiapkan mereka mendepani realiti cabaran kehidupan yang sebenar pada masa akan datang,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pengetua, Guru Besar dan Yang Di Pertua (YDP) PIBG Sekolah-Sekolah Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1278
Kongsi :
Previous post Ketua polis balai didakwa kasari orang awam dipindah ke jabatan lain
Next post SRA JAIM Ramuan China Besar juara pantun Parlimen Masjid Tanah
Ubah saiz-+=