Kerta Pandora: PM Anwar arah badan-badan berkaitan teruskan siasatan rapi

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan badan-badan berkaitan meneruskan siasatan berhubung isu Kertas Pandora secara rapi bagi memastikan tindakan dapat diambil.

Beliau berkata siasatan yang antaranya melibatkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri itu tertumpu kepada tokoh besar dalam negara termasuk bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan yang dipercayai menyalah guna kuasa memunggah kekayaan semasa berkhidmat.

“Arahan saya kepada badan-badan ini teruskan sisatan rapi dan saya mohon rakan-rakan ahli Parlimen (seramai) 222 orang ini ambil sikap tegas jangan melindungi dan sebaik sahaja ada siasatan terus dipertikai niat.

“Kalau ada bukti, ada fakta maka tindakan diambil dan kalau tindakan diambil tanpa fakta maka itu boleh dicabar sebagai penyalahgunaan kuasa atau motif politik, tetapi kalau wang ratus bilion dan juta dikeluarkan dan dilindungi, itu akan membawa porak peranda dan beri malapetaka kepada negara.

“Di peringkat international ini pendedahan tetapi tak banyak negara yang mempunyai tekad politik mengarah siasatan yang rapi dan Alhamdulilah Malaysia negara yang cukup jelas supaya ambil tindakan dan memberhentikan amalan, budaya memunggah, merompak wang negara,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung isu Pandora Papers serta sejauh mana siasatan dan tindakan susulan oleh pihak yang menjalankan siasatan.

Menjawab soalan tambahan Noraini mengenai langkah diambil kerajaan dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti industri kewangan dan perlindungan cukai, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menetapkan ketelusan dalam proses tender terbuka terutama melibatkan bumiputera.

“Amalan guna peluang membantu bumiputera tetapi dia songlap wang ini tak boleh diizinkan kerana memang ada dasar bantu bumiputera, itu kita tak halang tetapi tak boleh guna alasan bumiputera untuk minta syarikat beri wang kepada peribadi dan parti,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) sama ada kerajaan berhasrat meneliti akaun luar pesisir termasuk dana politik yang disalurkan di luar negara, Perdana Menteri berkata perkara itu termasuk Kertas Pandora merupakan keutamaan kerana ia menyentuh kepentingan negara keseluruhannya.

Menjelas lanjut, Anwar berkata jumlah wang yang terlibat berhubung isu Kertas Pandora disifatkan agak tinggi jika dibandingkan dengan jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi negara malah Malaysia juga berada di kedudukan teratas selain negara besar lain seperti China dan Arab Saudi.

“Wang yang dibawa keluar dari Malaysia itu dari sumber-sumber yang illicit, haram kebanyakannya. Saya tidak boleh katakan semua (haram). Ini terserah kepada badan penyiasatan tetapi jumlah ini agak terlalu tinggi bagi negara ini.

“Sebab itu semua nama yang disebut itu, walaupun 3,000 (nama) tetapi lihat keutamaan mengikut penyelarasan badan-badan penyiasatan dan ia tidak terkecuali sama ada dana itu dari luar atau dalam negara, semua dana yang lindungan cukai, yang lari daripada cukai, yang melanggar undang-undang sedang disiasat dan beberapa tindakan dah diambil,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu tersebut tidak akan dibuat sambil lewa bagi memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa kerajaan tidak akan mengizinkan perkara seumpama itu diteruskan lagi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1274
Kongsi :
Previous post Tiada campur tangan dalam kes mahkamah libat Jemaah Menteri – PM Anwar
Next post Selesai aduan rakyat fokus utama MPHTJ
Ubah saiz-+=