Kes baharu COVID-19 catat bawah 15,000

KUALA LUMPUR, 3 April – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini mencatat angka bawah 15,000 apabila sebanyak 14,692 kes dilapor semalam, menjadikan kumulatif kes dijangkiti wabak itu 4,234,087 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes harian itu, 8,557 kes atau 58.24 peratus adalah kategori satu manakala 6,056 kes atau 41.22 peratus merupakan kategori dua.

“Sementara kategori tiga sebanyak 27 kes, kategori empat (19 kes) dan kategori lima (33 kes),” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata 261 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 153 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau, 663 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 285 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya kategori satu dan dua.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 20,383 kes dilapor semalam menjadikan jumlah kumulatif kes pulih daripada wabak itu kini 3,997,786.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19, beliau berkata bagi penggunaan katil ICU di Kuala Lumpur, mencatat peratusan pengisian sebanyak 67 peratus manakala di Selangor merekodkan penggunaan 50 peratus, semalam.

“Tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 153 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 17 peratus,” katanya.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.85 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.06 sementara Kelantan dan Sabah merekodkan kadar paling rendah dengan masing-masing pada 0.68.

Dua kluster baharu turut dikenal pasti menjadikan jumlah kluster yang aktif adalah 190, setakat semalam.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Ramadan platform terbaik tingkat semangat Keluarga Malaysia
Next post Tiada perbincangan mengenai pengecualian khidmat tentera BTS