Sorting by

×

Kes daftar lewat kelahiran, Mykad hilang meningkat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 8 Jun – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka merekodkan 50 kes daftar lewat kelahiran (DLK) sepanjang lima bulan lalu, meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarahnya, Norazle Sulaiman berkata, bermula Januari hingga Mei tahun lalu, pihaknya cuma menerima sebanyak 40 kes DLK.

Menurutnya, antara faktor penyebab kepada peningkatan kes itu ialah isu keluarga, masalah sosio ekonomi dan tidak faham tentang prosedur pendaftaran.

“Ada juga kes daftar lewat kelahiran tertangguh dalam tempoh yang lama kerana pemohon telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Mereka meminta bayaran yang tidak munasabah jumlahnya, sedangkan daftar lewat kelahiran hanya dikenakan
bayaran sebanyak RM50,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Selain pertambahan kes DLK, pihaknya menerima 4,004 permohonan gantian Mykad hilang bagi lima bulan pertama tahun ini, meningkat berbanding berbanding 3,346 permohonan tahun lalu.

“Kajian juga mendapati bahawa ada pemohon yang telah kehilangan Mykad lebih daripada enam kali.

“Punca lazim kehilangan Mykad ini adalah disebabkan kecuaian iaitu sebanyak 94 peratus, selain masing-masing tiga peratus iaitu akibat jenayah dan bencana,” ujarnya.

Bayaran gantian Mykad untuk kali pertama dikenakan sebanyak RM100, RM300 hilang kali kedua manakala RM1,000 untuk kali ketiga serta seterusnya termasuk caj RM10 untuk bayaran permohonan.

Menurutnya, sebanyak 36 kes pendakwaan dibuat atas pelbagai salah laku berkaitan urusan dokumen pengenalan diri sejak tahun 2015 hingga sekarang.

“Antara kes tersebut ialah seperti  menggunakan kad pengenalan palsu, menggunakan kad pengenalan orang lain dan mengemukakan maklumat palsu milik individu lain semasa membuat permohonan dokumen pengenalan diri.

“Hukuman bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan dibawah akta dan peraturan jabatan ini adalah penjara atau denda,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, program Menyemai Kasih Rakyat atau MEKAR kerap diadakan dengan kerjasama pemimpin setempat.

Ujar beliau, setakat ini, sebanyak 53 program MEKAR telah digerakkan manakala tujuh lagi program bertemu pelanggan bakal dilaksanakan pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2655
Kongsi :
Previous post KM ketua delegasi, berlepas ke Dumai
Next post Bantuan RM150 juta untuk transformasi nelayan
Ubah saiz-+=