Kes demam denggi meningkat lebih 17 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PENGKALAN BATU 10 Sept. -Peningkatan lebih 17 peratus kes demam denggi dengan 1,847 kes melibatkan lima kematian direkodkan di negeri perlu dilihat sebagai situasi serius yang perlu ditangani semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, kes yang direkodkan setakat 5 September lalu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama dengan jumlah 1,576 kes pada 2019.

Jelasnya, dalam jumlah terbabit sebanyak 1,175 kes direkod di Melaka Tengah diikuti 369 kes di Jasin dan 303 kes di Alor Gajah.

Dalam masa sama katanya, satu kes kematian telah direkodkan di Melaka Tengah dengan dua kes kematian direkodkan masing-masing di kawasan Alor Gajah dan Jasin.

“Perkara yang berlaku ini merupakan perkara serius dan mencatat peningkatan biarpun kita masih berjaga-jaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP).

“Isu utama yang menyumbang kepada perkara ini adalah berpunca daripada masalah kebersihan yang perlu diterapkan masyarakat yang perlu mementingkan nilai kebersihan di rumah dan kawasan sekitarnya.

“Perkara ini telah berlarutan begitu lama disebabkan masalah kebersihan dan masyarakat perlu peka dengan keadaan yang berlaku ini kerana ini akan mendatangkan persepsi terutama kepada pelancong luar.

“Pelancongan domestik yang dicatat meningkat ini juga akan memberi kesan kepada sektor ini disebabkan pandangan masyarakat luar terhadap negeri Melaka ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan Mesyuarat Agong Perwakilan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Melaka kali ke-44 di Dewan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC), pagi tadi.

Dalam pada itu menurut Rahmad bagi memastikan perkara berkenaan diatasi, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan sebuah program besar-besaran akan diadakan bagi membendung wabak berkenaan.

Jelasnya, sebuah Program Gotong Royong Mega dalam tempoh tiga minggu bakal diadakan pada 3 Oktober nanti dijalankan secara serentak di seluruh negeri ini.

“Program yang melibatkan seluruh pimpinan masyarakat dengan membabitkan 414 Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) akan dijalankan serentak dengan pelancaran utama yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali di Bukit Pulau.

“Program tiga minggu berturut-turut ini akan membabitkan lebih 100,000 penyertaan penduduk sekali gus mampu membendung wabak yang makin meningkat di Melaka,”katanya.

Views:

255
Kongsi :
Previous post MBMB lancar pasukan ‘Task Force’
Next post Perkasa STEM menerusi DSTIN 2021-2030
Ubah saiz-+=