Sorting by

×

Perkasa STEM menerusi DSTIN 2021-2030

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 10 Sept. – Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang akan dilancarkan tahun hadapan bagi menggantikan dasar sama 2013-2020 akan ditambah baik termasuk memperkasakan mekanisme pembudayaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, menerusi dasar baharu itu, tiga kementerian akan bekerjasama bagi memastikan Pelan Tindakan STEM mampu mengatasi kekurangan minat pelajar untuk menceburi bidang STEM.

Bagaimanapun, katanya fokus mengenai dasar baharu itu tidak boleh didedahkan secara terperinci berikutan dasar sedia ada masih aktif dijalankan sehingga penghujung tahun ini.

“Sasaran kementerian (MOSTI) adalah 60 peratus pelajar menceburi bidang STEM dan untuk mencapai sasaran itu, MOSTI bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menubuhkan jawatankuasa bersama.

“Perancangan menerusi jawatankuasa itu masih berjalan dan melalui dasar baharu itu disebut juga mengenai pembudayaan STEM, mengenai bagaimana kita hendak mencapai sasaran dalam menyokong negara ke arah berteknologi tinggi.

“Dasar itu bagaimanapun akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi tetapi dasar sedia ada masih ada untuk menyokong memartabatkan STEM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Minggu Sains Negara 2020 Peringkat Negeri Melaka di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional Sains dan Inovasi) negeri Datuk Noor Effandi Ahmad dan Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim.

Views:

778
Kongsi :
Previous post Kes demam denggi meningkat lebih 17 peratus
Next post 465 kes cubaan bunuh sejak Januari hingga Jun
Ubah saiz-+=