Sorting by

×

Kes kematian dalam tahanan polis disiasat unit khas mulai 2022

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Mulai tahun ini, semua kes kematian dalam tahanan polis akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata kes berkenaan tidak lagi disiasat oleh anggota atau pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) atau lokap, di mana kejadian kematian itu dilaporkan.

“Ini bagi memastikan ketelusan siasatan berkaitan kes itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebaran pelanggaran undang-undang serta salah laku tatatertib.

“Kes-kes berkaitan bukan sahaja disiasat di bawah aspek jenayah tetapi termasuk daripada aspek tatatertib,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin tahu langkah pencegahan yang diambil Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi kes kematian dalam tahanan.

Selain itu, Bobbey juga meminta KDN menyatakan jumlah kematian tahanan seperti di lokap polis, depoh tahanan imigresen dan lain-lain agensi kerajaan dari Januari 2020 hingga Jun 2021.

Mengulas lanjut, Ismail berkata sebanyak 17 kes kematian dalam tahanan polis dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas yang melibatkan kematian tertinggi di Selangor iaitu tujuh kes, diikuti Pahang (enam), Johor (dua) manakala masing-masing satu kes di Kedah serta Perak.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2020, jumlah kematian dalam tahanan polis melibatkan 16 tahanan iaitu di Pahang merekodkan sembilan kes, Terengganu (dua) dan masing-masing satu kematian di Perlis, Perak, Melaka, Johor dan Sabah.

“Tahanan di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021, sebanyak 113 kematian tahanan di depot imigresen dilaporkan membabitkan 53 orang pada 2020 manakala sehingga Jun 2021 melibatkan 60 orang. Sementara sehingga 15 Mac lepas, sebanyak 27 kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan,” katanya.

Bagi jumlah kematian dalam penjara, Ismail berkata 12 kematian dilaporkan pada tahun lepas dengan tujuh kematian banduan direkodkan di Penjara Kluang, Johor dan masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Udang, Melaka; Penjara Simpang Renggam, Johor; Penjara Bentong, Pahang; Penjara Wanita Kajang, Selangor; dan Penjara Satelit Kuala Kangsar, Perak.

Bagi 2020, jumlah kematian dalam penjara membabitkan 13 banduan iaitu tujuh kematian di Penjara Kluang, dua kematian di Penjara Sungai Udang manakala masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Buloh, Selangor; Penjara Kota Kinabalu, Sabah; Penjara Taiping, Perak; dan Penjara Pokok Senam, Pulau Pinang.

“KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil berat tentang hak asasi tahanan di semua lokap PDRM seluruh negara, termasuk usaha mengatasi kes tahanan mati semasa di bawah pengawasan PDRM.

“Justeru, untuk menambah baik pengurusan tahanan dalam lokap, PDRM telah menyediakan garis panduan standard lebih ketat termasuk dalam menguruskan tahanan yang sakit, meningkatkan kekerapan rondaan pada waktu malam serta penambahan anggota yang menguruskan tahanan,” katanya.

Ismail turut berkata pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan 684 lokap polis, IPD dan ibu pejabat kontinjen PDRM sedang dilaksanakan bagi mengawasi dan memantau Orang Kena Tahan untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku di dalam lokap.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Bekalan mentah menjelang Ramadan terkawal- EXCO
Next post Zul Ariffin disiasat bawah Akta Komunikasi dan Multimedia selepas muat naik ‘teaser’ panas
Ubah saiz-+=