Kes pertama varian Omicron babitkan pelajar antarabangsa dikesan di Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR 3 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes pertama positif varian Omicron membabitkan seorang pelajar insitut pengajian tinggi swasta (IPTS) di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sejak penularan varian itu yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 24 Nov lalu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring di pintu KLIA.

Katanya, hasil PCR Genotyping Assay terhadap 74 sampel positif COVID-19 dikesan di KLIA dalam tempoh 11 hingga 28 Nov lalu, satu daripada sampel dikesan berkemungkinan daripada varian itu.

“Hasil jujukan genom menunjukkan keputusan itu adalah positif varian Omicron pada 2 Dis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes itu melibatkan seorang wanita bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov lalu.

Tambahnya, kes terbabit telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 di KLIA dan individu terbabit merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

“Individu berkenaan diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan oleh pihak universiti di Ipoh.

“Kes juga telah menerima vaksinasi lengkap pada 29 Sept dan tidak bergejala,” katanya.

Menurut Khairy, IMR telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif dengan CT Value 26.68 pada 20 Nov lalu dan individu berkenaan meneruskan pengasingan selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 Nov.

“Pengesanan kontak rapat dijalankan terhadap semua penumpang bas serta pemandu seramai lima orang.

“Semua mereka sudah menjalani ujian saringan COVID-19 serta arahan kurantin wajib, bagaimanapun ujian sampel pertama dan kedua mendapati semua kontak rapat itu disahkan negatif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri laksana penguatkuasaan penerokaan haram hutan simpan sebelum 1 Jun – PM
Next post Ular sawa batik sempat telan ayam sebelum ditangkap
Ubah saiz-+=