Kes PEWA berulang masih tinggi – JPJ

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

REMBIA 4 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang didapati menyewa atau membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh pemandu atau penunggang warga asing.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, kes kesalahan berulang membabitkan Pemandu Warga Asing (PEWA) di negeri ini juga masih tinggi dan ia berpunca daripada kurangnya kesedaran dalam kalangan pemilik mengenai kesan buruk atau tindakan undang-undang boleh dikenakan jika membenarkan kenderaan mereka digunakan pihak tidak sepatutnya.

“Berdasarkan rekod banyak kes membabitkan kesalahan dan pesalah berulang. Malangnya, kenderaan yang disita adalah milik orang tempatan dan kita terpaksa melepaskan semula kepada pemilik.

“Untuk pengetahuan, kesedaran orang kita berhubung memberi kebenaran penggunaan kenderaan kepada warga asing agak rendah, justeru itu kita akan ambil tindakan sewajarnya kepada mereka ini,” katanya pada sidang media selepas operasi khas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Rembia, hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, motosikal adalah kenderaan paling kerap digunakan oleh warga asing bagi menjalankan aktiviti harian mereka.

“Data ini dapat dilihat menerusi Operasi Hari Raya Aidiladha (HRA) yang dijalankan baru-baru ini apabila sebanyak 68 kesalahan dikesan dan daripada jumlah itu 45 membabitkan penggunaan motosikal.

“Warga Pakistan dan Bangladesh direkodkan antara penunggang serta pemandu yang tertinggi yang menggunakan kenderaan milik warga tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76
Kongsi :
Previous post [DIKEMASKINI] Melaka umum insentif RM100 untuk pelajar sekolah ke Pameran Hang Tuah
Next post LKM, insurans tamat tempoh kesalahan tertinggi direkod JPJ Melaka
Ubah saiz-+=