[DIKEMASKINI] Melaka umum insentif RM100 untuk pelajar sekolah ke Pameran Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BUKIT KATIL 4 Julai – Seramai 40 pelajar terpilih di setiap sekolah seluruh Melaka kini boleh berkunjung ke Pameran Hang Tuah sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh secara percuma, menerusi tajaan Kerajaan Negeri..

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menerusi pemberian insentif khas berjumlah RM100 kepada semua sekolah di negeri ini.

Kata Ketua Menteri, pemberian insentif itu bertujuan menggalakkan generasi muda melihat sendiri penemuan, fakta serta artifak baharu mengenai kehebatan Hang Tuah.

“Saya menggalakkan ibu bapa, guru-guru dan pelajar seluruh Melaka gunakan kesempatan yang ada untuk melawat pameran sedang berlangsung bagi mengambil inspirasi mengenai kehebatan Hang Tuah yang pernah mengembara ke 14 buah negara sepertimana yang diketahui melalui surat penghargaan dan watikah yang ditemui berdasarkan kajian yang dijalankan.

“Kerajaan Negeri mengambil langkah melanjutkan tempoh lagi pameran ini agar lebih ramai dapat menghayati penemuan baharu tentang kajian dilaksanakan penyelidik di beberapa buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan Bijak Sejarah SPM Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 diadakan di Bayou Convention Centre, di sini, 4 Julai lalu.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Aziz Baba dan Pengarah Pendidikan negeri, Ghazali Ahmad.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, generasi muda khususnya diharap memanfaatkan pameran itu untuk mengenali sejarah yang berkait rapat dengan keagungan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Saya berharap agar generasi muda mampu mengikut jejak langkah Hang Tuah yang memiliki kebijaksanaan yang luar biasa, sekali gus menjulang nama Melaka kembali megah seperti yang terdapat dalam lipatan sejarah,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 317 buah sekolah didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan dengan pecahan sebanyak 238 buah sekolah rendah dan 79 buah sekolah menengah di ketiga daerah di negeri ini.

Pameran Hang Tuah yang diadakan bermula 10 Jun hingga 7 Julai depan telah dilanjutkan sehingga 28 Julai ini selepas ia menerima sambutan daripada pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3096
Kongsi :
Previous post Pendidikan agenda utama tranformasi Melaka
Next post Kes PEWA berulang masih tinggi – JPJ
Ubah saiz-+=