awal ashaari

Kes saman fitnah Naz Empire terhadap Awal Ashaari gagal selesai melalui mediasi

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Kes saman fitnah sebuah syarikat perkhidmatan mengubah suai dan dekorasi rumah terhadap personaliti televisyen, Awal Ashaari berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti itu gagal diselesaikan melalui proses mediasi kerana kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Peguam Sareekha Roslyna Mohd Rosly yang mewakili Naz Empire Sdn Bhd selaku plaintif berkata sehubungan itu kes tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan.

“Kedua-dua pihak telah memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan termasuk pernyataan saksi. Pihak plaintif (Naz Empire) akan mengemukakan dua saksi termasuk Pengarah Naz Empire Azrianna Alyssa Azmil manakala Awal Ashaari akan memberikan keterangan bagi pihaknya selaku defendan,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar A.Shaarmini secara dalam talian (e-Review) hari ini.

Ditanya mengenai tarikh perbicaraan, Sareekha Roslyna berkata kemungkinan tarikh tersebut akan ditetapkan pada pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache pada 4 Ogos ini.

Sementara itu, peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 7 Julai tahun lepas, mahkamah mencadangkan supaya kes saman itu dirujuk ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di sini, dan sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, kes diteruskan dengan perbicaraan.

Pada 13 Nov 2020, Naz Empire memfailkan saman berjumlah RM3 juta terhadap Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial.

Syarikat itu mendakwa kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman Awal dimulakan selepas Awal membayar deposit sebanyak RM100,000, bagaimanapun Awal menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau kualiti kerja plaintif dan memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian serta meminta memulangkan semula wang RM100,000 itu.

Plaintif mendakwa, Awal telah memulakan siri fitnah secara berterusan terhadap plaintif dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya serta telah memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’ bagi tujuan sama.

Awal turut memfailkan tuntutan balas pada 30 Dis 2020, dengan menuntut ganti rugi RM750,000 daripada syarikat berkenaan berhubung kegagalan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di kediamannya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

43
IMG_20220709_153717 Previous post Wanita, teman lelaki, disyaki hina Islam didakwa esok
WhatsApp Image 2022-07-12 at 7.05.49 PM Next post Tragedi keluar simpang, pelajar Tingkatan Dua maut