Tragedi keluar simpang, pelajar Tingkatan Dua maut

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TELOK MAS 12 Julai – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam kemalangan di persimpangan Jalan Seri Emas 51, di sini lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, , Asisten Komisioner, Christopher Patit berkata mangsa Raudah Syafiah Mohamad Zulhilmi yang menunggang motosikal jenis SYM VF3I SE meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Beliau berkata dalam kejadian pada jam 6.35 petang itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu menghala ke Jalan Telok Mas, manakala kereta dipandu lelaki 37 tahun warga Rohingya meluru keluar dari simpang Jalan Seri Emas 51 untuk memasuki ke lorong kampung yang berada di arah bertentangan jalan.

“Ketika lelaki terbabit keluar simpang meluru terus untuk ke kampung bertentangan, mangsa tidak dapat mengelak dan melanggar pintu hadapan kanan kereta dipandu suspek.

“Mangsa terhantuk di kepala pada cermin hadapan kereta dan jatuh di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian manakala pemandu kereta terbabit cedera ringan di dahi dan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KEADAAN kereta yang remuk dalam kemalangan di Jalan Seri Emas 51, di sini petang semalam. Foto ihsan PDRM

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.

Jelasnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertup dan keadaan jalan raya berkenaan lurus dengan dua lorong serta cuaca pada ketika kejadian baik.

“Kereta jenis Kia Rio dipandu lelaki terbabit akan dibawa ke Puspakom bagi tindakan lanjut dan suspek akan ditahan pihak polis bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesen boleh digantung dan hilang kelayakan lesen memandu,” katanya.

Terdahulu, kemalangan membabitkan pelajar perempuan itu termasuk video seorang lelaki dipercayai pemandu kereta terbabit ditahan oleh orang awam tular di laman sosial semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4324
Kongsi :
Previous post Kes saman fitnah Naz Empire terhadap Awal Ashaari gagal selesai melalui mediasi
Next post Kenaikan OPR tidak jejas minat beli rumah mampu milik
Ubah saiz-+=