Kesedaran meningkat, kutipan fidyah naik RM2.417 juta
SERI NEGERI 29 November- Peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat Melaka membawa kepada peningkatan bayaran fidyah yang setakat ini sudah mencapai RM2.417 juta.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kutipan bagi tempoh Januari hingga Oktober sudah melepasi RM2.4 juta yang disasarkan.
Katanya, dibandingkan pada tahun 2022, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerima kutipan pembayaran fidyah sebanyak RM2.39 juta.
“Manakala agihan daripada kutipan pembayaran fidyah ini telah mencapai RM1,770,440 iaitu 73.24 peratus, menerusi pelbagai program agihan manfaat yang kebiasaan menggunakan pelbagai kaedah.
“Pengagihan langsung kepada asnaf dan fakir miskin semasa Ramadan; pemberian kit makanan ketika kecemasan dan bencana yang disalurkan melalui pejabat Japerun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti.
“Pada tahun ini juga, MAIM telah menambah saluran dana fidyah melalui 14 sekolah SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dan lima institut pengajian tinggi (IPT) secara ‘one-off’ dengan nilai sebanyak RM440,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tuminah Kadi@Hashim (BN-Pantai Kundor) mengenai agihan kutipan zakat di Melaka pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.