photo1637419620

Ketepi masalah dalaman, jadikan semula BN kerajaan dominan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) mengetepikan masalah dalaman parti agar boleh menjadi kerajaan dominan di negara ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yakin sekiranya masalah dalaman khususnya isu-isu remeh yang tercetus antara parti komponen dan parti mesra BN dapat diketepikan, BN diyakini mampu memperoleh kemenangan besar pada PRU15 kelak.

“Kita ketepikan masalah inter-party (antara pihak dalam BN), kita ketepikan perbezaan politik dan kita bawa rakan-rakan lain (parti mesra BN) agar menang PRU15,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia inginkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dari segi ekonomi dan berdasarkan rekod prestasi selama lebih tujuh dekad mentadbir negara ini, hanya BN dilihat mampu merealisasikan hasrat berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan kepada MIC bahawa kerusi tradisi parti itu tidak akan ditandingi oleh mana-mana parti mesra BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga meminta MIC supaya tidak bimbang dengan kehadiran parti mesra BN yang baharu pada PRU15, malah beliau akan memastikan parti itu membantu MIC untuk menang bersama.

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu turut mengingatkan semua parti komponen BN supaya tidak sombong, angkuh dan riak dengan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

“Kita lihat pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar, kita menang majoriti besar tetapi PRU14 kita kalah di kawasan itu. Kemenangan yang berlaku tidak semestinya menjadi templat atau acuan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, jika kemenangan PRN Melaka dijadikan panduan, ia boleh disifatkan bahawa rakyat Malaysia ‘amat merindukan’ BN untuk kembali menerajui semula kerajaan pada PRU15.

Turut hadir pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan MIC itu ialah Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

32
Untitled-1-Recovered-Recovered-Recovered-Recovered-Recovered Previous post SPRM sahkan pegawainya ditahan polis bantu siasatan kes rompakan berkumpulan
IMG-20211212-WA0028 Next post Rebat tunai RM30 beli produk kraftangan