Rebat tunai RM30 beli produk kraftangan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDA HILIR 12 Dis – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Melaka menawarkan rebat tunai RM30 kepada pengunjung bagi setiap pembelian produk kraftangan bernilai RM100 ke atas.

Pengarahnya Nur Ithnani Ilyana Alias berkata, tawaran itu diberikan menerusi Promosi Kraf Malaysia yang akan berakhir esok di Kompleks Beli Belah Mahkota Parade.

“Kita menyasarkan lebih 3,000 pengunjung bakal mengunjungi promosi ini sehingga esok.

“Semalam sahaja kira-kira 700 pengunjung telah direkodkan hadir sehari dan kali ini kita bawa 13 peniaga kraftangan dari seluruh negeri untuk pasarkan produk mereka.

“Inisiatif ini sekali gus membantu mereka (usahawan kraf) yang tidak dapat menjual produk mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

NUR Ithnani

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kompleks Beli Belah Mahkota Parade di sini, hari ini.

Seorang peniaga yang terlibat dalam Promosi Kraf Malaysia, Mastura Selamat, 55 meluahkan rasa syukur kerana platform itu dapat membantu usahawan kecil menjana pendapatan.

“Saya sangat gembira, ini dapat bantu kami usahawan kecil terus gerak ke hadapan selain mempromosi produk kraf kami.

“Rata-rata pengunjung hujung minggu ini bukan dari Melaka, jadi mereka teruja dapat melihat sendiri keunikan produk kraf yang kita pamerkan.

“Dah lebih lima kali saya sertai pameran sebegini dan alhamdulillah dalam tempoh PKP saya tidak terjejas sangat sebab kita jual juga secara dalam talian,” katanya yang mempunyai sebuah studio kraftangan di Bukit Katil Damai.

Manakala, Shazwani Sa’ari, 35 juga meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk mempromosikan produk kraftangannya.

“Saya mula berkecimpung dalam bidang ni sejak tahun 2017 bersama mak, masa tu mak pencen kerajaan jadi kami isi masa lapang dengan aktiviti kraf.

“Kita ada jual produk kraf seperti tudung saji, soft toys guna material batik dan lain-lain yang dibuat dari rumah sendiri.

“Alhamdulillah dengan sertai pameran ini dapatlah usahawan kecil memasarkan produk kraf mereka dan sambutan juga sangat menggalakkan,” katanya.

KAMEL melihat produk kraftangan yang dijual pada promosi kraf tersebut.

Terdahulu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkesempatan melawat serta melihat gerai-gerai usahawan yang menyertai promosi kraf tersebut.

Promosi Kraf Malaysia diadakan selama lima hari bermula 9 Dis hingga 13 Dis dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Ketepi masalah dalaman, jadikan semula BN kerajaan dominan – Ahmad Zahid
Next post MyCare COVID-19 terima 4,230 aduan sejak Jun hingga 9 Dis
Ubah saiz-+=