MyCare COVID-19 terima 4,230 aduan sejak Jun hingga 9 Dis

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA NERUS, 12 Dis – Sebanyak 4,230 aduan dan pertanyaan diterima melalui perkhidmatan MyCare COVID-19 yang diwujudkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula 1 Jun hingga Khamis lepas (9 Dis).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata aduan paling banyak diterima adalah berkaitan urusan pernikahan iaitu 2,590 aduan; perkara berkaitan bantuan dan sumbangan (981); kaunseling keluarga (275); kaunseling peribadi (170); urusan cerai (82); rawatan Islam (18); dan lain-lain (114).

“Kalau mengikut umur pula, tiga kumpulan tertinggi mengemukakan aduan melalui MyCare COVID-19 ialah individu yang berumur 20 hingga 29 tahun iaitu 2,116 orang, diikuti individu berumur 30 hingga 39 tahun (1,152 ) dan 305 individu yang berumur 40 hingga 49 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Musa’adah Mangsa Banjir di Balai Raya Kampung Alor Damat di sini, hari ini.

Beliau berkata seramai 15 pegawai dan kaunselor JAKIM ditugaskan khusus dalam memberi khidmat kaunseling dan nasihat terhadap aduan yang diterima, melalui pelbagai platform termasuk panggilan telefon, aplikasi WhatsApp dan emel.

Menurut Ahmad Marzuk inisiatif perkhidmatan MyCare COVID-19 menunjukkan kerajaan memandang serius permasalahan dan isu sosial dalam kalangan rakyat ekoran penularan pandemik yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan melalui JAKIM akan bermesyuarat dengan pihak berkaitan bagi meneliti aspek perundangan dan tindakan yang sesuai bagi menangani salah laku golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di platform media sosial dan aplikasi dalam talian.

Katanya mesyuarat yang akan dipengerusikannya pada minggu hadapan itu melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa yang lain.

“Kita tahu benda itu salah dari segi perundangan secara asasnya tetapi mekanisme untuk mengenakan apa-apa tindakan itu perlu diharmonikan semula supaya memberi kesan positif,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata mesyuarat tersebut akan turut menyentuh mengenai sebuah siri filem bertemakan ‘gay’ dikatakan disiarkan menerusi aplikasi janji temu dan penstriman video bertajuk Stay Away From Me yang dilaporkan media, dilakonkan pelakon lelaki muda tempatan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Rebat tunai RM30 beli produk kraftangan
Next post Diskaun bayar saman dilanjutkan sehingga 31 Dis – KPN
Ubah saiz-+=