Ketua balai mengaku tidak bersalah terima rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Ketua balai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM21,800 daripada pemilik restoren dua tahun lalu.

Abdul Halim Alias, 59 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Abdul Halim yang berpangkat Sub Inspektor didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai berjumlah RM8,000 dan RM1,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesalahan itu dilakukan di Restoren The Stage Music Lounge Pit, Kota Shahbandar Melaka pada 4 Ogos 2020.

Dalam prosiding sama, tertuduh juga berdepan tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) akta sama iaitu secara rasuah bersetuju dan memperoleh sejumlah suapan daripada pemilik sama antara 4 hingga 11 Ogos 2020 di premis sama dan Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah bagi dorongan sama.

Kesemua kesalahan itu jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan jumlah jaminan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post Dua penjawat awam didakwa kemuka butiran matan palsu
Next post Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal, solat tarawih dibenar bermula 1 April – JAWI
Ubah saiz-+=