Ketua dan empat ahli sindiket dadah dituduh di mahkamah

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JOHOR BAHRU 26 Jan. – Seorang ketua dan empat ahli sindiket dadah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, keseluruhannya membabitkan 18 pertuduhan mengedar dadah di sekitar Johor Bahru, awal bulan ini.

Ketua sindiket Goh Chee Kuang, 44, dan teman wanitanya, Lee Chia Hui, 33, serta tiga lelaki, Bally Paw Shaw Kiat, 38, serta pasangan adik-beradik Lye Chang Pung, 39, dan Lye Chang Lim, 36, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Chang Pung berdepan lima pertuduhan, Paw berdepan empat pertuduhan manakala Goh, Lee serta Chang Lim, masing-masing didakwa dengan tiga pertuduhan.

Kesemua mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine seberat lingkungan 102 gram hingga 210 kilogram di Taman Mount Austin, Taman Baiduri serta Taman Setia Indah, di sini, antara 9 dengan 15 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Micheal K. L. Chee dan Kevin Quah Kai Weng.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di Malaysia di IPK Johor pada 17 Januari lalu. Foto kredit – Facebook Polis Johor.

Media sebelum ini melaporkan, polis Johor berjaya membuat 23 serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru, sekali gus membongkar aktiviti sindiket membabitkan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah, antara 8 hingga 17 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk tujuh wanita tempatan berusia antara 17 hingga 62 tahun, namun empat daripadanya dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah.

Keseluruhan dadah dirampas bernilai RM327 juta yang boleh menampung 16.7 juta penagih.

Views:

555
Kongsi :
Previous post Tiada upacara Thaipusam di Melaka
Next post Ibu bapa sokong usaha memantapkan kembali TV Pendidikan
Ubah saiz-+=