Ibu bapa sokong usaha memantapkan kembali TV Pendidikan

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 26 Jan. – Ibu bapa di negeri ini menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menambah baik rancangan Televisyen Pendidikan (TV Pendidikan) bagi menyokong kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ia termasuk cadangan KPM meningkatkan kerjasama dengan beberapa lagi stesen televisyen bagi menambah tempoh masa rancangan TV Pendidikan sekali gus memastikan akses atau jurang pendidikan tidak melebar dalam kalangan masyarakat.

Bagi pekerja kerajaan, Mohd Zulfikri Lukman, 35, berkata, inisiatif memperluas rancangan TV Pendidikan amat wajar dan boleh membantu ibu bapa yang bekerja untuk menentukan anak-anak dapat terus belajar di rumah.

“Saya menyokong penuh usaha kementerian memperkasa TV Pendidikan ini kerana pengisiannya memang membantu anak-anak untuk belajar secara santai di rumah.

“Sebagai contoh untuk calon UPSR pembelajaran subjek Bahasa Melayu (Penulisan) diterangkan lengkap dengan contoh pendahuluan, isi kandungan serta penutup sama seperti dalam kelas dan mudah difaham.

“Sebelum ini pihak sekolah menggunakan kaedah PdPR secara atas talian, namun ada kekangan misalnya akses Internet yang tidak stabil sekali gus menjadikan ia sukar,” katanya yang mempunyai anak berusia lapan tahun.

Pekerja swasta, Irwan Khamis, 37, pula berkata, walaupun belajar di rumah menerusi saluran TV Pendidikan, namun pihak sekolah dan guru sentiasa membantu anaknya yang berada di tahun dua dan tiga.

Izzul Rizqin Mohd Zulfikri, 8, mengikuti sesi PdPR dengan menonton rancangan TV Pendidikan.

“Saya lega apabila melihat anak-anak rajin belajar melalui TV Pendidikan. Guru mereka juga sentiasa menghubungi untuk mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak selain membekalkan latihan bagi semua subjek.

“Cuma sebagai ibu bapa kita kena pantau juga pelajaran mereka (anak) agar tidak hilang fokus ketika mengikuti PdPR di rumah,” katanya.

MOHD Zulfikri

TV Pendidikan mula bersiaran di televisyen konvensional pada 1972 sebelum ditukar kepada kaedah secara dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan dihentikan siaran disaluran televisyen konvensional bermula 1 Januari 2009.

Namun, KPM mewujudkan semula TV Pendidikan pada 6 April 2020 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac 2020 dengan bersiaran di Okey TV selama dua jam sehari dari Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 1.55 petang dan Astro Tutor (empat jam di saluran 601 dan 603).

Rancangan pendidikan itu kini diperluas ke saluran NTV7 dan bersiaran tiga jam sehari, Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Views:

555
Kongsi :
Previous post Ketua dan empat ahli sindiket dadah dituduh di mahkamah
Next post Terengganu catat kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di Malaysia-Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=