Ketua Menteri sampai sumbangan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BUKIT BARU 31 Jan. – Kes kematian Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek, 7, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tiri Jumaat lalu turut mendapat perhatian kerajaan negeri yang menghulurkan sumbangan.

Sumbangan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali kepada keluarga angkat mangsa disampaikan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Wira Sazali Muhd Din.

Terdahulu, Sazali meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk mengetahui perkembangan terkini kanak-kanak berkenaan selain menyampaikan sumbangan peribadi Ketua Menteri kepada keluarga angkatnya di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka jam 10.30 pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ghazale Muhamad, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dilapor berkata, Bilik Gerakan Melaka Tengah menerima maklumat dari seorang lelaki berusia 38 tahun mendakwa anak tirinya lemas dalam tong air di rumahnya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa bagaimanapun menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 38 tahun dan 32 tahun yang juga bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak itu dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.20 pagi selepas ditahan di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes.

Views:

587
Kongsi :
Previous post ‘Bantal busuk’ penawar rindu Amir
Next post Hilang RM24,400 akibat ditipu ‘Inspektor Aidil
Ubah saiz-+=