Khairy Jamaluddin individu pertama di Malaysia terima suntikan Sinovac

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

REMBAU 18 Mac. – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran China tersebut di Hospital Rembau pada 1.30 tengah hari.

Beliau tiba di hospital itu pada kira-kira 1.25 tengah hari dan melalui tiga stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum disuntik dengan vaksin berkenaan oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau Salha Abd Samad di stesen keempat dan seterusnya diletak di bawah pemerhatian di stesen kelima.

KHAIRY JAMALUDDIN menerima suntikan vaksin Sinovac sekali gus menjadi individu pertama di negara ini menggunakan vaksin terbabit. Foto- Twitter YB Khairy

Stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19 dan stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi.

Turut menerima suntikan pertama vaksin Sinovac hari ini ialah 10 petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan.

Khairy sebelum ini memaklumkan negara menerima sejumlah 100,000 dos vaksin Sinovac pada Isnin lalu dan bakal menerima jumlah yang sama 22 Mac ini.

KHAIRY selesai menerima suntikan vaksin Sinovac di Hospital Rembau. Foto- Twitter MOSTI.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin itu. Beliau menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post PBT diarah kaji semula tahap kesuburan pokok berusia lebih 100 tahun
Next post Kalimah Allah: Sultan Ibrahim titah MAINJ bantu kerajaan persekutuan
Ubah saiz-+=