Khidmat jurulatih, tunggu keputusan MAVA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PAYA RUMPUT 4 Januari – Khidmat jurulatih yang menampar dua pemain remaja perempuan sehingga mencetuskan kontroversi akan diteruskan atau sebaliknya akan diputuskan oleh Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sejurus siasatan selesai.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, siasatan menyeluruh insiden itu akan diambil alih oleh MAVA kerana kejadian itu mendapat liputan meluas termasuk perhatian daripada menteri berkenaan.

Katanya kedudukan jurulatih berusia 44 tahun itu sebelum ini terbahagi kepada tiga iaitu siasatan di pihak Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Unit Integriti dan MAVA.

“Pihak MAVA yang berkuasa dalam hal ini, apa-apa tindakan yang akan diambil terhadap beliau adalah bergantung kepada KPM dan juga MAVA.

“Pada waktu ini kita menunggu arahan dan tindakan yang akan diambil. Hari ini di Melaka (siasatan) sudah selesai,” katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas susulan insiden itu, lewat petang ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Ketua Pengqrah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow dan Pengarah MSN Melaka Asri Ninggal.

Menurut beliau, walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh jurulatih terbabit kepada keluarga pemain dan mereka menyelesaikan secara baik namun ianya perlukan tindakan menyeluruh.

“Kami di Melaka berpuas hati namun kesalahan (itu) sepatutnya tidak terjadi dan salah tetap salah.

“Malah antara yang kita syorkan di peringkat kita (tindakan) adalah sijil jurulatih digantung selama setahun atau dua.

“Justeru ini saya berharap agar semua pihak tidak lagi memperbesarkan isu ini kerana ia secara tidak langsung menjejaskan emosi kedua-dua pemain itu, katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1107
Kongsi :
Previous post Polis rampas cecair, peranti vape bernilai RM1.55 juta
Next post BNM ada hak, kuasa tentukan OPR tanpa campur tangan kerajaan – PM Anwar
Ubah saiz-+=