KKM dapat kelulusan ambil 8,302 petugas kesihatan kontrak untuk tangani COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

PUTRAJAYA 4 Mei. – Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperoleh kelulusan Kementerian Kewangan untuk mengambil 8,302 petugas kesihatan kontrak menerusi inisiatif mengoptimumkan penggunaan sumber manusia bagi menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, petugas kesihatan kontrak yang diambil setakat April lalu meliputi 82 pegawai sains, jururawat seramai 4,472 orang, penolong pegawai perubatan (2,249), juruteknologi makmal perubatan (666), penolong pegawai persekitaran (340) dan juru x-ray diagnostik (293).

“Jumlah tersebut termasuk kelulusan oleh Kementerian Kewangan bagi menyambung perkhidmatan sejumlah 200 orang kaunselor yang kini menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kesihatan mental kepada pelanggan di klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju meluluskan pelantikan semula 3,622 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi untuk tempoh satu tahun lagi dengan kos emolumen sebanyak RM289.69 juta.

“Pembaharuan kontrak akan dimaklumkan kepada pegawai sebelum kontrak sedia ada berakhir,” katanya.

Dr Adham berkata KKM juga sudah melantik 3,042 orang Personel MySTEP bagi membantu tugas bukan klinikal di seluruh fasiliti kesihatan dan institusi di bawah kementerian.

Berdasarkan situasi semasa jangkitan COVID-19 di beberapa negeri, KKM melaksanakan mobilisasi dalaman petugas kesihatan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan seperti pakar perubatan klinikal, pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan, pegawai sains, penolong pegawai perubatan dan jururawat.

Seramai 648 petugas kesihatan telah dimobilisasi ke Sarawak, manakala sejumlah 366 lagi dihantar ke Kelantan mulai 26 April lalu, katanya.

“Inisiatif seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan kritikal di negeri-negeri tertentu di samping memastikan keperluan sedia ada di negeri lain tidak terjejas,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara, kementerian dan agensi awam serta pentadbiran kerajaan negeri yang telah memobilisasikan anggota masing-masing membantu KKM di penempatan seperti Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), COVID-19 Assessment Centre dan Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negara.

Seramai 306 anggota Kumpulan Pelaksana seperti penolong pegawai tadbir, pembantu tadbir (Perkeranian/Operasi), pembantu tadbir (Kewangan), pegawai khidmat pelanggan dan pemandu dimobilisasi bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Kementerian berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan dalam usaha kerajaan menangani penularan pandemik wabak COVID-19 di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post SPRM siasat jika ada unsur penawaran wang terhadap ahli politik lompat parti
Next post Penjawat awam didakwa palsu tuntutan bayaran katering majlis hari raya
Ubah saiz-+=