KKMM rancang bina 500 menara komunikasi baharu di seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR 3 Sept – Sekurang-kurangnya 500 menara komunikasi baharu dirancang untuk dibina di 210 mukim di seluruh negara bermula suku keempat tahun ini, bagi penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar 4G.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata rancangan itu merupakan antara inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar yang sedang dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, beliau berkata 280 menara baharu dari segi penyediaan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G sedang dalam peringkat pelaksanaan dan kesemuanya dijangka siap serta beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

“Sebanyak 11 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada sedang dalam peringkat dinaik taraf ke perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan Persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang mahukan penjelasan berhubung rancangan kementerian untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dari segi kelajuan dan keluasan liputan merangkumi seluruh Malaysia berikutan kebergantungan terhadap internet yang mendadak susulan COVID-19.

Zahidi berkata 377,360 pelanggan sedia ada di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan rangkaian berasaskan tembaga akan dinaik taraf ke rangkaian gentian optik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Inisiatif yang disarankan melalui Telekom Malaysia Berhad ini dijangka siap secara berperingkat menjelang 2021. Jumlah ini akan diselaraskan dari semasa ke semasa disebabkan oleh faktor perolehan langgan pelanggan.

“Sebanyak 33,112 sambungan jalur lebar talian tetap di pinggir bandar sekarang dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat pada hujung 2020,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata SKMM telah bekerjasama dengan pihak industri dan penyelia perkhidmatan telekomunikasi untuk membangunkan satu pelan infrastruktur digital dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan di seluruh negara dengan menggunakan pelbagai teknologi.

Sementara itu, Zahidi berkata kementerian itu sedang berusaha meningkatkan kawasan liputan perkhidmatan 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus, menjadikan hanya 3.1 peratus sahaja kawasan yang tidak mendapat liputan.

“Bagaimanapun kita lihat ada kawasan-kawasan di seluruh negara mempunyai kawasan blindspot (sukar mendapat perkhidmatan liputan jalur lebar seperti kawasan bukit).

“Jadi kita minta kawasan-kawasan yang tiada liputan untuk maklumkan kepada SKMM dan kita segera tangani masalah itu,” katanya menjawab soalan tambahan Mojuntin berhubung keseimbangan penyambungan internet antara bandar dan luar bandar.

— BERNAMA

Views:

269
Kongsi :
Previous post Kewangan negara terkawal meskipun laksana rangsangan ekonomi pasca-Covid-19
Next post Pelakon Dwayne Johnson, keluarga pulih daripada Covid-19
Ubah saiz-+=