KLIP sedia 6,000 peluang pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LINGGI 28 Julai – Kuala Linggi International Port (KLIP) dalam proses membangunkan fasiliti dan infrastruktur pelabuhan itu dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, Syarikat Linggi Base Sdn. Bhd. (LBSB) bertindak sebagai pemaju untuk menambak laut seluas 620 ekar.

“Ia termasuk membina fasiliti tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

“Segala kajian telah dilaksanakan, hasil kajian menunjukkan pembangunan infrastruktur pelabuhan ini mempunyai ruang dan potensi berdaya maju sekali gus memberi impak positif dan nilai tambah kepada Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Japerun Kuala Linggi, hari ini.

Jelasnya, projek itu dapat memperluas pekerjaan melalui kapasiti penggunaan tenaga kerja domestik dan antarabangsa pelbagai peringkat.

“Peringkat pembinaan projek perlukan seramai 115,000 tenaga kerja yang mengambil masa lima hingga lapan tahun.

“Setelah siap KLIP akan sediakan 6,000 peluang pekerjaan tetap meliputi 60 peratus ‘skilled workers’, 30 peratus ‘technical engineering’ dan 10 peratus ‘management personel’,” katanya.

Tambahnya, projek ini bakal mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada usahawan setempat.

“Pelabuhan ini jadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara melalui sektor pembekalan serta perkhidmatan pelabuhan dan marin, pengurusan kapal, perundangan serta bayaran cukai dan dius,” katanya.

Views:

603
Kongsi :
Previous post MBMB fokus keindahan kawasan tumpuan pelancong
Next post Lambat ambil tindakan, punca kanser servik merebak
Ubah saiz-+=