KM mahu pemimpin akar umbi main peranan bantu golongan memerlukan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BUKIT PALAH 6 Julai – Semua pihak terutama pimpinan akar umbi perlu memainkan peranan bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali menegaskan semua pemimpin akar umbi termasuk Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Ahli Jawatankuasa Masjid dan Sidang perlu peka kerana masih terdapat golongan memerlukan tidak mengetahui maklumat dan inisiatif disalurkan.

SULAIMAN mengadakan sidang media selepas majlis simbolik penyerahan inisiatif Musa’adah Muhaffaz ‘Alamiy Covid-19 dan penyerahan makanan kecemasan (Musa’adah) bagi PKP 3.0 Majlis Agama Islam Melaka kepada Japerun dan Masjid Negeri Melaka di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah. Foto: MR. Azli

“Melaka antara negeri terbaik dalam sistem pengurusan masyarakat kerana kita mempunyai pentadbiran yang sistematik dengan Japerun, JPKK serta pelbagai lagi.

“Malah, Majlis Agama Islam Melaka juga memainkan peranan penting sejak tahun lepas bagi memastikan bantuan ini diagihkan kepada masyarakat memerlukan dengan implikasi kewangan lebih RM12 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021.

“Kita pelik masih ada masyarakat yang berdepan sehingga enam bulan tiada bekalan makanan, sedangkan jika kita pergi ke masjid atau bilik gerakan di mana-mana masjid dan daerah mesti ada maklumat berkaitan bantuan untuk disalurkan,” katanya.

KAKITANGAN MAIM menyusun kit makanan yang akan diagihkan kepada Japerun dan masjid negeri Melaka. Foto- MR Azli.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan inisiatif Musa’adah Muhaffaz ‘Alamy COVID-19 di Pusat Islam MAIM, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md. Rawi Mahmud dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Sulaiman berkata, jika semua pihak termasuk persatuan penduduk serta kejiranan main peranan tiada yang tertinggal, melainkan mereka yang tercicir ini hanya duduk di rumah dan tidak bermasyarakat.

Beliau yang juga Pengerusi MAIM berkata, kerajaan negeri menyeru pengurusan masjid di Melaka menjalankan program bank makanan bagi memastikan semua penduduk berkeperluan tidak terlepas menerima bantuan.

“Kita mahu semua masjid di Melaka adakan program bank makanan atau biasa disebut gerobok rezeki yang membenarkan penduduk ambil barangan perlu dan menginfakkan apa yang mampu.

“Setakat ini 80 daripada 190 masjid kariah di Melaka menjalankan program seumpama ini dan ia perlu diperluaskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post Lebih 300,000 dos sehari, kerajaan optimis usaha vaksinasi di landasan tepat
Next post (EKSKLUSIF) 500 jemaah solat sunat Aidiladha di tujuh masjid- Mufti
Ubah saiz-+=