KM mahu pemimpin setempat lebih peka keperluan rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MASJID TANAH 14 Ogos – Semua pimpinan masyarakat perlu lebih peka terhadap kebajikan rakyat setempat yang memerlukan bantuan dalam tempoh sukar ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tanggungjawab itu perlu diberi perhatian oleh setiap Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Sidang, Jawatankuasa Masjid serta badan bukan kerajaan (NGO).

Usaha itu katanya bagi memastikan tiada seorang pun penduduk tercicir daripada menerima bantuan mengikut keperluan semasa.

“Inilah masanya untuk tunjuk tugas sebenar pihak kepimpinan akar umbi bagi menyantuni penduduk dan ketahui apa masalah mereka disaat sukar sehinggakan ada yang hilang kerja kesan pandemik COVID-19

“Segala masalah penduduk perlu diadukan kepada peringkat JAPERUN dan wakil rakyat untuk mudah kita sampaikan segala bentuk bantuan sebanyak mungkin,” katanya.

SULAIMAN menyerahkan replika kunci rumah kepada Nurisah menggantikan rumah pusaka miliknya di Batu 21 Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, yang terbakar dalam kejadian 15 April lalu.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas melakukan penyerahan kunci di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembinaan Rumah Baharu Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di kediaman Norisah Tahir, 80, di Kampung Durian Daun, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam penyerahan itu Sulaiman turut menyerahkan sumbangan lain termasuk bantuan kit makanan kepada keluarga yang berdepan kebakaran rumah warisan pada April lalu.

Tindakan pantas itu diambil kerajaan negeri menerusi LPM dengan kerjasama tajaan kontraktor UAC Berhad yang membina rumah percuma bernilai RM40,000 dengan kelengkapan dua bilik dan satu bilik air buat keluarga berkenaan.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, setakat ini program CSR dijalankan LPM telah membina empat buah rumah baharu di negeri ini dengan peruntukan RM160,000 daripada peruntukan sedia ada berjumlah RM400,000.

SULAIMAN bertanyakan sesuatu kepada Nurisah selepas merealisasikan pembinaan semula rumah Nurisah menggantikan rumah pusaka miliknya di Batu 21 Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, yang terbakar dalam kejadian 15 April lalu.

“Selain membantu keluarga membina rumah baharu, agensi ini juga akan membantu mereka yang perlu membaiki rumah sedia ada berikutan telah usang dan tidak selamat didiami.

“Kerajaan negeri juga menyeru kepada semua agensi termasuk orang perseorangan untuk bersama membantu LPM dari bentuk kewangan atau sebagainya bagi memastikan program seperti ini mampu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Malah, Sulaiman juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang bermurah hari untuk menghulurkan bantuan lain seperti perabot dan keperluan barangan rumah lain untuk membantu keluarga terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

783
Kongsi :
Previous post Mesyuarat Kabinet tergempar petang ini
Next post Nak tunjuk samseng konon
Ubah saiz-+=