KM mahu warisan bersejarah Melaka terus dipulihara

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia sejak 13 tahun lalu adalah usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengekal dan memulihara warisan sejarah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pengiktirafan negeri ini secara pencalonan bersiri atau ‘serial nomination’ sejak 7 Julai 2008 oleh Jawatankuasa Warisan Dunia.

Katanya, pengiktirafan yang diisytiharkan ketika Persidangan ke-32 di Quebec, Kanada itu menaikkan nama Melaka ke persada antarabangsa.

“Diam tak diam, tahun ini merupakan tahun ke-13, Melaka diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia, adalah penghargaan terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mengekal dan memulihara bangunan serta warisan sejarah berusia lebih 600 tahun,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, meskipun rakyat tidak dapat menyambut ulang tahun Bandaraya Warisan Dunia UNESCO secara besar-besaran susulan pandemik COVID-19, namun usaha dan semangat meraikan sambutan itu menerusi beberapa program dalam norma baharu tetap diteruskan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak terlibat bagi memulihara semua bentuk warisan di Melaka sama ada warisan ketara dan tidak ketara, sekali gus berjaya mengekalkan status ini selama 13 tahun.

“Terus memulihara warisan bersejarah untuk tatapan generasi hari ini dan masa hadapan!” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

819
Kongsi :
Previous post Pegawai kerajaan rugi RM370,000 diperdaya Macau Scam menyamar LHDN
Next post PGA7 rampas ayam beku seludup bernilai RM72,000 di Tumpat
Ubah saiz-+=