Konflik perdagangan AS-China tidak beri impak besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia

Masa Membaca:3 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 11 Ogos  – Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang bermula sejak awal 2018 tidak memberikan impak yang besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 ialah sebanyak RM80.41 bilion, meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tempoh yang sama 2019 manakala nilai eksport Malaysia ke AS meningkat pada kadar 2.4 peratus kepada RM46.15 bilion dan import pula bernilai RM34.26 bilion, meningkat 4.1 peratus.

Hampir 80 peratus daripada eksport Malaysia ke AS disumbang oleh produk elektrik dan elektronik, produk keluaran getah, peralatan optikal dan saintifik, produk keluaran kayu serta produk perkilangan yang lain, manakala produk yang menyumbang kepada 76 peratus daripada jumlah import dari AS adalah produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan bahan kimia, mesin dan peralatan, peralatan optikal dan saintifik serta produk perkilangan logam.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia dengan China bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 turut mencatat peningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada RM149.16 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

Eksport Malaysia ke China pada tempoh yang sama bernilai RM69.43 bilion meningkat pada kadar 8.3 peratus disokong oleh eksport utama iaitu elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, produk petroleum, pembuatan logam serta barangan perkilangan yang lain, manakala import menurun 5.8 peratus kepada RM79.73 bilion, di mana import utama merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan bahagian, kimia dan produk kimia, produk petroleum serta pembuatan logam.

“Namun begitu, prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan sedikit kemorosotan bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang bermula pada awal tahun dengan jumlah perdagangan berkurangan sebanyak tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019.

“Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion. Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2019,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesan perang perdagangan antara AS dan China selain pandemik COVID-19 terhadap import dan eksport Malaysia bagi 2020.

Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluang perniagaan bagi sektor tertentu, contohnya sektor keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan pandemik tersebut.

“Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmi kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit,” katanya.

Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan COVID-19 yang masih berterusan, MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani impak perdagangan ke atas Malaysia.

Antaranya, dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam usaha membantu syarikat mengurangkan kos promosi eksport bagi memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa meskipun dalam situasi mencabar ini.

Memanfaatkan penggunaan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) antara pembeli berpotensi dengan syarikat pembekal Malaysia, kementerian itu berkata, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaan telah diadakan iaitu 395 pembeli asing telah dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia yang menghasilkan potensi jualan sejumlah RM461.35 juta.

Selain itu, menerusi satu tinjauan yang dilakukan, MATRADE telah memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya sejajar dengan Pakej PENJANA yang diumumkan.

MDG turut menampung 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara, seiring dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kewangan yang dialami syarikat pengeksport Malaysia dalam menghadapi COVID-19.

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 1,427 permohonan daripada 962 syarikat telah diproses dengan geran sebanyak RM14.56 juta telah disalurkan,” kata kementerian itu.

Menurut MITI, MATRADE juga akan mengadakan beberapa sesi Virtual Trade Clinic (VTC) iaitu satu platform khidmat nasihat perdagangan bagi membantu syarikat mematuhi keperluan dan mengatasi cabaran eksport dalam usaha memulihkan operasi dan perancangan eksport syarikat Malaysia.

Sebagai permulaan, MATRADE dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Electrical and Electronics Productivity Nexus (EEPN) dan Machinery and Equipment Productivity Nexus (MEPN) menganjurkan VTC bagi syarikat elektrikal dan elektronik.

— BERNAMA

Views:

350
Kongsi :
Previous post Hospital Melaka rayu orang ramai tampil derma darah
Next post COVID-19: Tular pesanan ringkas tidak benar
Ubah saiz-+=