Konflik Rusia-Ukraine: Minyak sawit melonjak

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR 1 Mac – Minyak sawit Malaysia kini menjadi minyak sayuran paling mahal apabila konflik Rusia-Ukraine telah menjejaskan eksport minyak bunga matahari dari rantau Laut Hitam.

Kontrak niaga hadapan bulan semerta MSM di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) mencecah RM8,000 setan metrik hari ini manakala penanda aras kontrak Mei 2022 dilihat pada satu ketika diniagakan pada paras RM6,553 hari ini.

Ketua penyelidik komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata momentum meningkat minyak sawit diunjur kekal berterusan di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine, bekalan terhad minyak kacang soya dan minyak biji sesawi di seluruh dunia serta dasar obligasi pasaran domestik (DMO) Indonesia yang memerlukan ia mengekalkan 20 peratus daripada eksport minyak sawitnya bagi penggunaan domestik.

Pasaran tenaga yang positif dan eksport kukuh dari Malaysia pada Februari 2022 juga membantu merangsang harga minyak sawit, katanya.

“Harga minyak sawit di pasaran percuma atas kapal di Malaysia dan Indonesia kini lebih tinggi berbanding harga minyak kacang soya dan justeru itu minat belian baharu berkurangan tetapi risiko penghantaran bekalan minyak bunga matahari dari rantau Laut Hitam akan terus menyokong sentimen.

“Kita mungkin tidak akan melihat pembetulan menurun harga minyak sawit dalam waktu terdekat ini,” katanya kepada Bernama.

Mengenai eksport, Anilkumar berkata penyelidik kargo Intertek Testing Services (ITS) dan AmSpec Malaysia mengunjurkan eksport minyak sawit Malaysia bagi Februari 2022 masing-masing sebanyak 1.26 juta tan metrik dan 1.21 juta tan metrik.

Mengenai pengeluaran pula, data bagi tempoh 1-25 Februari daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan peningkatan yang konsisten dengan pengeluaran minyak sawit Semenanjung Selatan mencatatkan peningkatan sebanyak 13.7 peratus bagi tempoh 1-25 Jan.

“Pengeluaran bulan penuh mungkin tidak mengekalkan peningkatan berikutan bilangan hari kerja yang rendah tetapi masih dijangka kekal sekitar lapan hingga sembilan peratus dari Januari 2022,” katanya.

Tumpuan akan terarah kepada data pengeluaran bulan penuh UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia menjelang previu penawaran dan permintaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.  – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1186
Kongsi :
Previous post Dua kementerian teliti negara luar berpotensi untuk skim VTL – Hishammuddin
Next post Polis Johor siasat penipuan tiket bas VTL
Ubah saiz-+=