Konvoi Belia Prihatin: Jelajah bantu insan dalam kesusahan

Masa Membaca:57 Saat

PAYA RUMPUT 2 Dis. – Sebanyak 20 buah kenderaan telah menyertai program Konvoi Belia Prihatin yang bertujuan menjelajah seluruh Melaka dalam usaha mencari dan membantu insan dalam kesusahan.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohamad Rafiq Naizamohideen berkata program anjuran JAPERUN Paya Rumput dengan kerjasama Melaka Youth Development Corporation itu telah diadakan bermula minggu lalu yang mana lawatan tersebut turut menyasarkan kepada golongan belia hilang pekerjaan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Ujarnya, sehingga hari ini sebanyak 200 buah rumah telah dilawati dan diagihkan bantuan berupa wang tunai dan pek makanan.

“Melalui lawatan ini juga kita akan cuba mengenal pasti segala sudut bantuan yang boleh dihulurkan sekiranya ada isu-isu berbangkit seperti rumah yang usang, memerlukan bantuan kerusi roda, tongkat mahupun katil pesakit.

“Kita juga akan mengusahakan bantuan bulanan dari agensi kerajaan kepada mereka yang layak, selain turut berpeluang mengagihkan bantuan pek makanan dan wang tunai.

“Insyaallah, kita akan terus menggerakkan usaha-usaha seperti ini dalam memastikan tiada rakyat terpinggir dari sudut kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di Klinik Kesihatan Cheng selepas menyempurnakan program Konvoi Belia Prihatin di dalam kawasan Parlimen Tangga Batu, hari ini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post Menjerit lima minit gara-gara takut
Next post Amaran cuaca hujan amat lebat di beberapa kawasan di Johor dan Pahang
Ubah saiz-+=