Menjerit lima minit gara-gara takut

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 2 Dis. – Gara-gara terlalu takut untuk berkhatan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menjerit selama hampir lima minit di bilik rawatan Klinik Kesihatan Cheng, hari ini.

Ragam itu antara yang dapat disaksikan dalam program Khatan Berjadual yang dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput (ADUN) Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bersama JAPERUN Paya Rumput.

Jeritan bercampur teriakan kuat itu bagaimanapun terhenti apabila kanak-kanak yang mesra dipanggil Hakimi itu selesai dikhatankan pegawai perubatan yang bertugas.

Meskipun raut pucat masih kelihatan, namun sedikit sebanyak terpancar kelegaan di wajah kanak-kanak terbabit yang kini sudah bersedia menempuh alam kedewasaan.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta khatan, Iqbal Rizky, 8, yang ditemui Melaka Hari Ini mengakui pada awalnya dia terlalu takut untuk berkhatan.

Namun, perasaan takut itu berjaya dibuang jauh selepas diberikan kekuatan dan sokongan daripada ibu bapanya.

“Sakit sikit je masa mula-mula. Lepas tu dah tak sakit. Sekarang saya dah boleh jadi macam orang besar,” katanya.

Sementara itu Mohd Rafiq berkata, program khatan yang dianjurkan itu memecahkan rekod baharu apabila disertai seramai 242 peserta.

Ujarnya, walaupun tidak dapat melaksanakan khatan secara berkelompok seperti tahun-tahun sebelum ini memandangkan masih dalam musim pandemik COVID-19, namun program secara berjadual itu masih menerima sambutan hangat daripada orang ramai khususnya dalam kawasan Parlimen Tangga Batu.

“Menariknya, bayaran yang dikenakan untuk program khatan ini hanya RM45 yang mana ia jauh lebih murah berbanding khatan di klinik swasta yang boleh mencecah sehingga RM200.

“Memandangkan ramai yang terkesan ekoran COVID-19, sedikit sebanyak dengan penganjuran ini ia dapat mengurangkan beban ditanggung ibu bapa, khususnya dalam kalangan B-40,” katanya.

Tambahnya, program tersebut akan diadakan secara tahunan pada setiap hujung tahun sebagai usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat tatkala mendepani pandemik yang masih belum berakhir.

Views:

460
Kongsi :
Previous post 275 mangsa banjir ditempatkan di dua PPS di JB
Next post Konvoi Belia Prihatin: Jelajah bantu insan dalam kesusahan
Ubah saiz-+=