Konvoi berakhir tragedi
JASIN 16 Jan – Seorang penunggang maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 176.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara semalam.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, Mohd Shahrul Fadzli, 24 berasal dari Pekan Nanas, Johor maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Dua lagi rakannya masing-masing berusia 31 dan 36 tahun cedera.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati tiga sekawan itu dalam perjalanan dari Pekan Nanas menghala ke A’Famosa Resort, Alor Gajah.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa cuba memotong sebuah lori namun hilang kawalan sebelum bergesel dengan motosikal ditunggang dua rakannya.
“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga penunggang motosikal itu jatuh ke atas jalan raya dan kepala mangsa digilis lori yang belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala dua lagi rakannya cedera di bahagian tangan dan kaki.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala dua lagi rakannya dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
Hasan Basri berkata, usaha mengesan lori berkenaan masih diteruskan untuk membantu siasatan.
Katanya, ketiga-tiga motosikal berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.