KONVOKESYEN UTEM KALI KE-20 BUKA TIRAI

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 8 November – Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kali ke-20 membuka tirainya dengan Majlis Makan Malam dan Anugerah Bitara Kesidang 2024 yang diadakan penuh gilang-gemilang di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Datuk Dr. Husaini Omar; Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Dr. Massila Kamalrudin serta lain-lain kenamaan.

Massila dalam ucapannya berkata, penganjuran Majlis Makan Malam itu merupakan satu platform untuk menghargai penerima anugerah bagi Majlis Konvokesyen UTeM kali ke-20 dan Anugerah Bitara Kesidang 2024.

Menurut beliau, majlis berkenaan juga bertujuan menghargai jalinan hubungan kerjasama di antara UTeM dan juga pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam perkembangan universiti.

“Saya sangat berharap, dengan penganjuran majlis pada malam ini, ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan strategik dengan semua pemegang taruh agar kerjasama pintar dapat dilaksanakan bagi memanfaatkan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Massila memaklumkan Istiadat Konvokesyen UTeM kali ke-20 yang berlangsung pada 9 hingga 11 November ini bakal meraikan seramai 3,459 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai peringkat dan bidang pengajian.

Jelas beliau, istiadat itu diadakan dalam enam sesi penganugerahan yang merangkumi 120 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah, 159 orang graduan Ijazah Sarjana, 2,683 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dan 497 orang graduan Diploma.

Pada majlis makan malam itu juga, turut diadakan penyampaian Anugerah Bitara Kesidang 2024 iaitu Anugerah Akademik Universiti bagi menghargai kecemerlangan ahli akademik merangkumi pelbagai aspek kecemerlangan, termasuklah pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan inovasi.

Istimewanya tahun ini, dua anugerah baharu telah diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Tun Canselor serta Anugerah Khas Pentadbir dan Pelaksana.

Anugerah Khas Tun Canselor iaitu pengiktirafan tertinggi di peringkat universiti bagi menghargai sumbangan individu atau kumpulan melalui pelaksanaan projek dalaman dan luaran yang memberi impak yang signifikan kepada UTeM telah dianugerahkan kepada Pusat Alam Sekitar Pintar, Pejabat Penolong Naib Canselor (Strategik & Kelestarian Global).

Manakala Anugerah Khas Pentadbir dan Pelaksana yang diperkenalkan bagi menghargai sumbangan staf pentadbir dan pelaksana yang merupakan penyokong kepada keseluruhan tadbir urus universiti dianugerahkan kepada Nurul Akmar Mehat dan Mohd Yusri Jamil.

Pemenang anugerah membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang bernilai RM4,000.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Tun Dr. Mohd Ali diiringi Ab Rauf, Azhar, Dr. Husaini dan Massila.

Selain makan malam, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis popular Naim Daniel dan Wany Hasrita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post 22 PATI DICEKUP TINGGAL LEBIH MASA, LANGGAR SYARAT PAS
Next post SAKSIKAN ‘SUPERHERO’ BERLARI 22 DISEMBER INI
Ubah saiz-+=