Koperasi disaran manfaatkan aplikasi e-dagang – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 11 Feb – Kerajaan negeri mengesyorkan semua koperasi di negeri ini memanfaatkan platform e-dagang bagi memasarkan produk jualan masing-masing.

EXCO Kanan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, platform e-dagang dilihat sebagai potensi kepada usahawan khususnya syarikat koperasi untuk mendapatkan pulangan lumayan dalam perniagaan mereka.

Katanya, pemasaran menerusi medium itu juga pada masa kini menjadi trend baharu dalam aktiviti perniagaan di seluruh dunia.

“Jadi saya menyarankan supaya penggunaan aplikasi dalam talian ini boleh dimanfaatkan oleh mana-mana koperasi untuk dapat membantu barangan barangan yang dikeluarkan oleh mana-mana koperasi dalam negeri Melaka ini.

“Ia akan menjadi satu trend baharu dan akan memberikan pulangan yang baik dalam perniagaan mereka, jadi konsep e-dagang ini akan menjadi satu trend bukan sekarang tetapi masa depan.

“Konsep e-dagang ini memudahkan kita untuk berdagang dengan pelanggan yang duduk di rumah tak payah ke pergi mana-mana ‘supermarket’ (pasar raya),’ katanya selepas majlis Perasmian Program Bicara Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Bersama Keluarga Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2022, di sebuah hotel di Ayer Keroh.

AB Rauf

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron, Pengarah SKM negeri, Mohd Firdaus Shaari dan kira-kira 100 ahli koperasi SKM negeri.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, beliau yakin sekiranya teknologi itu diperluaskan, koperasi di Melaka mampu menjadi pelopor platform e-dagang untuk dimanfaatkan kepada semua koperasi di seluruh negara.

“Perkara ini akan diperhalusi oleh pihak SKM untuk melihat kalau ada peluang baru dalam memperagakan barangan melalui konsep e-dagang ini dan dikembangkan bermula di Melaka seterusnya kemudian ke seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan SKM untuk membangunkan perniagaan pasar raya besar supaya keperluan itu dapat menampung permintaan dalam pembekalan rantaian makanan di negeri ini.

Katanya, perkara ini perlu dipertimbangkan berikutan Melaka kekurangan pasar raya besar yang bertaraf tinggi untuk menjadi pilihan rakyat membeli barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post PBT di Melaka terima peruntukan RM50,000
Next post Pak Ngah berbangsa Cina, tapi selesa dengan orang Melayu
Ubah saiz-+=