Koperasi disaran teroka sektor agropelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PENGKALAN BATU 13 Disember – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka merekodkan hanya satu koperasi di negeri ini yang mengusahakan agropelancongan bagi menjana pendapatan dan memberikan manfaat kepada ahlinya.

Pengarahnya, Mustafa Kamal Mohd Noor menyarankan koperasi di negeri ini memberikan tumpuan kepada sektor agropelancongan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan kena dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelas beliau, ketika ini 120 daripada kira-kira 469 koperasi berdaftar di Melaka terlibat dalam sektor pelancongan namun bagi subsektor agropelancongan ia hanya diusahakan Koperasi Pengkalan Batu Berhad (KOPABA) menerusi projek Jerami Desa.

“Koperasi terbabit dalam sektor pelancongan lebih kepada menawarkan perkhidmatan hospitaliti seperti perhotelan dan idap desa.

“Jadi usaha dijalankan KOPABA mampu menjadi penanda aras dalam merancakkan agropelancongan, sekali gus memperkasa pembangunan ekonomi masyarakat kampung.

“Dalam konteks agropelancongan, pelawat yang datang akan didedahkan dengan aktiviti masyarakat di desa, tarikan seperti ini belum beluas dan amat jarang, jika dikembangkan pasti ia dapat membantu melonjakkan lagi TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakuan lawatan ke projek Jerami Desa di Kampung Pengkalan Batu, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KOPABA, Datuk Amzah Osman.

Whatsapp Image 2023 12 13 At 15.40.42 D77c5f73
AMZAH menyampaikan cenderamata kepada Mustafa Kamal selepas melawat projek Jerami Desa di Kampung Pengkalan Batu, hari ini.

Mustafa Kamal berkata kumpulan bercadang menubuhkan koperasi disaran untuk meneroka sektor yang boleh membawa keuntungan lumayan seperti agropelancongan.

Menurut beliau, ketika ini banyak koperasi menumpukan kepada bidang seperti peruncitan dan kepenggunaan serta pinjaman kredit.

“Kami akan terus membantu dan memberikan sokongan seperti menerusi bantuan Tabung Modal Pusingan dan sebagainya agar perniagaan koperasi di Negeri Melaka mampu berkembang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1171
Kongsi :
Previous post Sistem PADU mudahkan JPKK selesai masalah penduduk
Next post Zayn Rayyan: Polis temukan beberapa bahan bukti dalam pemeriksaan kali kedua
Ubah saiz-+=