Sistem PADU mudahkan JPKK selesai masalah penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka menyokong pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berupaya membantu untuk menyalurkan maklumat terkini penduduk di negeri ini.

Sistem PADU merupakan pangkalan data mengandungi profil individu dan isi rumah terdiri daripada maklumat biografi, demografi, pekerjaan, pendapatan, maklumat isi rumah, status Orang Kurang Upaya (OKU), penerima bantuan dan lain-lain.

Pengerusi JPKK Kampung Kelubi, Samat Majid berkata, sistem itu merupakan indikator bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat tentang permasalahan dihadapi penduduk sama ada di bandar atau luar bandar.

“Menerusi maklumat daripada sistem ini, ia dapat memudahkan pihak Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan jika berlaku sesuatu dan kita boleh tahu berapa jumlah orang dalam setiap isi rumah.

“Semua maklumat akan dikumpul bagi memudahkan kerajaan melaksanakan program-program kebajikan atau ekonomi di peringkat daerah serta parlimen,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Program Libat Urus dan Taklimat PADU Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Photo 2023 12 13 14 49 17
Pengerusi JPKK Seri Terubuk Lendu, Mohd Khairul Musa. Foto: MR. AZLI

Bagi Pengerusi JPKK Seri Terubuk Lendu, Mohd Khairul Musa, pelaksanaan sistem itu memberi manfaat kepada setiap JPKK untuk mendapatkan maklumat tentang penduduk kampung dengan lebih mudah.

“Selaras dan era mendigitalkan kampung di Melaka, sistem PADU merupakan salah satu inisiatif ke arah pendigitalan itu, ini juga salah satu usaha memudahkan JPKK mendapatkan maklumat penduduk.

“Sebagai JPKK kita perlu pelajari dahulu bagaimana sistem ini berfungsi supaya apabila penduduk kampung tanya kita dapat jelaskan kepada mereka lebih terperinci,” katanya.

Manakala Pengerusi JPKK Kampung Pulai Serkam, Rosli Buang menyifatkan sistem itu teknologi baharu yang memudahkan semua pihak untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas.

“Teruskan usaha ini untuk memberi maklumat penduduk dengan cara lebih berkesan, kalau boleh perluaskan lagi hebahan tentang sistem ini di semua daerah supaya lebih ramai tahu fungsinya,” katanya.

Photo 2023 12 13 14 51 00
Pengerusi JPKK Kampung Pulai Serkam, Rosli Buang. Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1262
Kongsi :
Previous post Melaka hargai jasa pesara
Next post Koperasi disaran teroka sektor agropelancongan
Ubah saiz-+=